Thursday, July 23, 2009

Di Mana Aku?

Sudah lama tidak mencoret sesuatu. Ujian demi ujian yang datang bertali arus sejak akhir-akhir ini sedikit-sebanyak menggugah jua benteng kekuatan jiwa saya. Saya hanyut seketika dalam arus deras bernama 'mehnah' dari-Nya. Mujurlah saya masih sempat berpaut pada tangan insan-insan tersayang yang terhulur setia di sisi, menemani saya mengharungi ujian, mencari kembali kekuatan dan nilai diri yang kian sirna dari acuan peribadi sendiri. Terima kasih Tuhan, kerana rahmat kasih-Mu yang Maha Luas membenarkan diri ini untuk bangkit kembali dari 'tidur'.

Seminggu dua ini, hati saya terasa begitu lapang dan ringan sekali. Seolah-olah ketulan batu besar dan berat yang menghempap jiwa saya telah diangkat, dibuang jauh-jauh. Seolah-olah hijab tebal dan gelap yang menyelubungi akal waras saya selama ini telah ditanggalkan, dicabut. Bukanlah bermaksud masalah sudah selesai atau pun ujian sudah dilepasi dengan jayanya. Hanya merasakan diri ini sudah mulai berani berkongsi segala masalah yang dihadapi. Segala rasa hati yang terpendam, terjeruk lama dalam sangkar hati ini akhirnya terluah juga kepada orang lain. Alhamdulillah, pada saya langkah kecil ini pun sudah cukup baik, suatu perkembangan baru yang positif sedang berlaku pada diri saya.

Sebelum ini, bertahun-tahun saya kunci pintu hati, mengasingkan diri dari dunia luar walau pada zahirnya mereka melihat saya sebagai seorang peramah, periang, terbuka dan bermotivasi tinggi. Sebenarnya tiada siapa pun yang benar-benar mengenali diri saya yang sebenar, hatta 'best friend' sendiri. Mungkin juga empunya diri ini pun belum benar-benar maklum akan diri sendiri.

bersambung....

DOA QUNUT NAZILAH