Friday, November 7, 2008

Novel Bersiri : Mahar Cinta Humaira (Bab 1)

Kota Aqsa, 20 tahun lalu

Bumi Palestine basah lagi lewat pagi itu. Rintik-rintik kasar menjadi lebat menghujani muka bumi yang sekian lama gersang dan tandus. Sang mentari seakan-akan ditelan awan mendung hitam yang mengisi dada langit. Kota Aqsa sepi sekali lagi. Hiruk-pikuk suara manusia dan bunyi dentuman peluru dan bom yang bertali-arus hilang ditelan keheningan pagi yang begitu dingin mencengkam.

Di celah-celah runtuhan bangunan batu lumpur itu, berlari-lari dua orang kanak-kanak saling berpegangan tangan. Sesekali mereka menoleh ke belakang. Serpihan bebatuan dan besi berceracak yang menghalangi laluan habis diredahi. Mereka terus berlari tanpa menghiraukan luka dan calar-balar yang mula terasa pedih. Hujan lebat menyukarkan lagi pergerakan mereka berdua. Tiba-tiba kanak-kanak yang paling kecil itu terjatuh, tersungkur mencium tanah becak. Wajahnya comot berlumuran lumpur.

"Cepat bangun! Jangan berlengah lagi!" perintah yang seorang lagi.

"Tapi kak, adik tak larat lagi....." adu si kecil tercungap-cungap kepenatan.

"Mereka dah dekat. Kau sembunyi dulu di sini diam-diam," ujar si kakak, "Tunggu sampai akak datang!" si kecil yang sudah keletihan itu akur pada perintah kakaknya, yang sudah menghilangkan diri di sebalik runtuhan bangunan. Dia hany
a menanti penuh debar. Ketakutan jelas terbayang pada wajah pucatnya. Entah sudah berapa lama dia berkeadaan sebegitu dia sendiri tidak tahu. Dingin pagi benar-benar mencengkam, hampir-hampir saja dia hilang kesedaran. Semerta kedengaran bunyi derapan tapak kaki menghampiri tempat persembunyiannya. Degupan jantung kian deras. Seketul batu sebesar bola besbol dicapai, digenggam erat-erat.

"Adik...."

"Arghh....!!" sekujur tubuhnya mengggigil bagai disimbah setimba ais yang sejuk amat. Mujur kakaknya bertindak pantas menekup mulutnya.

"Dik...cepat keluar dari sini!" si kecil itu masih terpinga-pinga.

"Cepat! Kau pergi cari abang. Kau tahu di mana abang berada, kan?" si kecil mengangguk, masih terk
ebil-kebil.

"Lari, dik. Keluar dari kota ni! Lari ke Desa Bhustan. Mereka akan bawa kau bersama ke Bandaraya Raudhah. Kau akan selamat di sana. Cepat pergi!"

"Mestikah kita ke kota penuh maksiat tu?" si kecil gusar.

"Sekurang-kurangnya tempat itu masih lagi di bawah naungan pemerintahan orang Islam. Sekurang-kurangnya tempat itu menawarkan perlindungan dan keselamatan kepada kita."

Benar, Bandaraya Raudhah...Permata Asia Tenggara yang kian menyinar. Sayang sekali, realiti tak seindah nama yang d
iberikan. Arus kemodenan dan kemajuan yang dicedok dari Barat yang pernah menjajah negara itu membuatkan penduduknya mulai melupakan akar agama dan budaya ketimuran yang murni, lantas meniru budaya Barat yang terang-terang sarat dengan kemaksiatan dan kemungkaran. Namun, di sebalik timbunan maksiat yang meruntuhkan moral dan akhlak mereka, masih ada benih-benih suci yang sedang tumbuh subur, bersedia memulihkan kembali nilai peribadi dan harga diri mereka. Itulah benih-benih Islam, perlahan-lahan namun utuh dan kukuh, mulai menyinar menerangi kembali Bandaraya Raudhah, Permata Asia Tenggara itu.

"Tak usah banyak fikir. Cepat pergi dari sini sebelum terlambat!" suara tegas kakaknya menyentak perhatian si kecil.

"Kakak, macam mana pula?" soalnya kembali, masih dihurung kebingungan.

"Jangan fikir tentang akak. Cepatlah pergi, dik!"

"Tapi..."

"Tolonglah...terlalu banyak orang yang dah terkorban. Kita yang masih hidup ini, jangan pula nak sia-siakan peluang yang ada. Tolonglah dik...sama ada akak atau kau, kita mesti berusaha untuk terus hidup! Bangsa Palestine tak boleh lenyap begitu saja! Tolonglah, dik!"

"Kakak...."

"Dik...tolonglah pergi sekarang. Walau apa sekalipun, kau tetap adik kesayangan akak," dua beradik itu saling berpelukan seketika. Pantas si kecil berpaling, mula membuka langkah seribu meninggalkan kakaknya di tengah-tengah Kota Aqsa.

Kesaki
tan dan kedingingan yang mencengkam batang tubuhnya seakan-akan hilang dibius semangat dan harapan yang menggunung. Kerapkali dia tersadung. Kerapkali dia tersungkur menyembah bumi. Namun tubuhnya masih larat untuk bangkit semula. Si kecil yang baru menjangkau usia lima tahun itu terus berlari dan berlari. Tidak berhenti walau sesaat pun. Tidak berpaling ke belakang walau sekilas pun. Dia nekad, dia mesti keluar dari kota ini. Mesti!


'Cari abang. Kau tau di mana abang berada, kan? Lari...keluar dari kota ni. Lari ke Desa Bhustan. Mereka akan bawa kau bersama ke Bandaraya Raudhah! Kau akan selamat di sana. Cepat pergi!' kata-kata kakaknya masih terngiang-ngiang di cuping pendengarannya. Ya, dia mesti cari abangnya di desa tersebut. Abang dan mereka yang lain telah merancang untuk melarikan diri, mencari perlindungan di Bandaraya Raudhah. Mereka kata, tempat itu sangat aman, jauh dari peperangan. Mereka kata, masyarakat di bandaraya tersebut sangat santun dan baik hati walaupun berbilang kaum dan berbeza kepercayaan. Kalau abangnya sudah berkata demikian, maka dia sanggup percaya! Dia sanggup mencuba nasib di tempat asing itu, demi meneruskan hidup!

Kota Aqsa tiba-tiba dihingari suatu suara jeritan nyaring. Si kecil itu berhenti berlari. Dia berpaling ke belakang. Suatu perasaaan yang seni sedang merayapi tangkai hatinya kala ini. Perit dan ngilu. Bangunan-bangunan tinggi di sekeliling dipandang kosong. Bagai mengerti dengan jeritan nyaring sebentar tadi, dia mula menangis teresak-esak. Tubuhnya terjelepuk ke tanah. Tenaganya hilang. Semangatnya padam.

Umi! Walid! Kakak! Hatinya menjerit-jerit memanggil insan-insan tersayang. Kenapa nasib kita begitu malang? Kenapa? Kenapa mesti kita yang menjadi korban? Jiwanya memberontak. Tangisan mula reda. Hanya esakan halus kedengaran. Lama dia berteleku di atas tanah becak bertakung air lumpur. Hujan masih lagi lebat mencurah-curah, seperti turut sama meratapi nasib si kecil itu.

Bersambung...

Thursday, November 6, 2008

Novel Bersiri : Mahar Cinta Humaira (Prolog)


Sekelip mata dia terasa badannya melayang di udara. Sekelip mata dia terasa tubuhnya terhentak keras di atas turapan tar yang membahang. Sekelip mata segalanya kelam dan sunyi, bagai roda masa tiba-tiba berhenti berputar. Dia terlentang tidak bergerak. Sinar mentari yang tegak di atas kepala seakan-akan menyengat penglihatannya. Kabur.

"Humaira!" cuping telinganya masih dapat menangkap suara yang kian sayup tenggelam dari pendengaran. Ada cecair pekat mengalir hangat dari rongga hidung dan telingany
a. Bersusah payah dia cuba mengatur nafas yang tersekat-sekat dalam rengkungan nafasnya.

"Humaira!" pandangannya beepinar dan kian kabur. Derianya masih mampu merasai seseorang sedang menyentuh, mengusap tangan dan kepalanya. Rasa bisa menjalari seluruh sendi tubuhnya. Kesakitan yang amat luarbiasa terasa merampas kudratnya.

"Ya Tuhan.....apa yang sedang terjadi ada diriku?" dia bingung. Pandangannya gelap seketika. Cerah kembali.

Kata orang, pada saat manusia di ambang kematian, pada saat itulah mereka dapat melihat kembali seluruh perjalanan hidupnya. Ternyata ia benar. Dia juga tak terkecuali. Satu-persatu perjalanan hidupnya dipaparkan di layar mata, perjalanan yang gembira mahu pun yang sedih, yang indah mahu pun yang penuh hitam. Satu-persatu, tanoa dapat dia halang, menerjah ke ruangan memorinya.

"Humaira..." suara itu masih lagi memanggil namanya, sayu. Humaira...ya, nama itu memang miliknya. Nama yang digunakan dalam kehidupannya yang biasa, yang normal. Namun dia punya satu lagi nama yang sunyi, yang kelam, yang rahsia, kerana dia juga punya satu lagi kehidupan yang sunyi, yang kelam, yang rahsia. Tiada siapa pun tahu tentang hal itu. Tiada siapa pun, kecuali seorang cuma. Seseorang itu jugalah yang telah memberikan sinar baru dalam hidupnya.


Dalam payah dia tersenyum tipis. Ya, dia ibarat sebiji catur Othelloyang memiliki dua wajah. Wajah putih dan wajah hitam. Bagi dirinya, memiliki dua kehidupan berbeza tidak menjadi masalah. Begitu juga memiliki dua nama, dua identiti berbeza bukanlah hal yang rumit. Namun, memiliki dua cinta, itu adalah sesuatu yang mustahil bagi dirinya. Antara dua cinta, dia terpaksa membuat pertaruhan yang besar, yang pastinya melibatkan soal hidup matinya.

Dua cinta tak
mungkin dapat wujud dalam satu ruang yang sama. Salah satunya mesti berundur, mesti mengalah. Dia amat yakin dengan prinsip itu. Dia amat yakin, apabila wujud sebah cinta yang lebih kuat dan lebih utuh dalam ruang hatinya, maka lama-kelamaan ia akan membunuh cinta yang satu lagi. Ia terpaksa mengorbankan cinta yang satu lagi, kerana cinta itu sendiri tak lebih dari sebuah pengorbanan semata-mata. Lambat-laun hal itu pasti akan terjadi, dan yang pastinya dia sendiri terpaksa membayar pengorbanan itu dengan harga yang amat mahal.

Bersambung...

Monday, November 3, 2008

Doa Buat Sahabat...


Ya Tuhan...
Kurniakan kefahaman, kejelasan & keyakinan,

Kepintaran & kekuatan akal fikiran,

Serta ketenangan jiwa kepada sahabatku...


Ya Tuhan...

Limpahkan rahmat & cinta-Mu kepada sahabatku,
Jangan Kau sempitkan dia dengan belenggu masalah,
Jangan Kau hukum dia kerana kekurangan & kelemahan...
yang ada pada dirinya...

Permudahkanlah segala urusan sahabatku...


Ya Tuhan...

Tempatkan sahabatku di kalangan kekasih-Mu,
Tinggikan darjat sahabatku dalam ketaqwaan & keimanan,
Redhailah sahabatku dunia & akhirat...
kerana sesungguhnya aku amat mencintai & mengasihi sahabatku,

Bahkan aku redha terhadap dirinya...

Demi Tuhan sekelian alam...
Sahabatku telah memberiku ketenangan,

Kegembiaraan & kebahagiaan,

Serta mendorongku
Untuk menggapai CINTA-Mu.


DOA QUNUT NAZILAH