Thursday, January 1, 2009

Novel Bersiri : Mahar Cinta Humaira (Bab 1) - sambungan




Bandaraya Raudhah, 10 tahun lalu


Luna masuk ke ruang tamu dengan menatang dulang membawa secawan minuman coklat panas. Perlahan-lahan wanita muda berusia dalam lingkungan 20-an itu meletakkan minuman tersebut di atas meja kecil yang tersedia di sisi sofa empuk yang terletak di tengah-tengah ruang tamu tersebut. Kemudian dia berdiri tegak, menanti dalam diam di sisi sofa. Beberapa minit kemudian kedengaran pintu utama dibuka dan ditutup semula. Luna tersenyum.

"Saya dah balik," dia bersuara lemah, keletihan jelas menguasai tubuhnya tika ini. Luna masih tersenyum. Tanpa berlengah dia terus menghenyakkan batang tubuhnya ke atas sofa empuk buatan Itali itu. Wajahnya tampak sedikit pucat dan lesu.

"Selamat pulang. Minuman sudah disediakan, masih hangat lagi,"

Luna masih tersenyum menyambut kepulangannya. Dia hanya mengangguk perlahan tanpa bersuara. Minuman coklat panas dihirup perlahan, terasa segar sedikit. Matanya terpejam rapat.

"Bagaimana perkembangan di sekolah hari ni?" Luna masih di sisi sofa empuk tersebut, menanti jawapan daripadanya.

"So far so good," dia menjawab malas.

"Datuk ada hubungi hari ni?" Luna mengangguk perlahan, mengiyakan.

"Sejak akhir-akhir ni, Cik Muda nampak sibuk dengan aktiviti di sekolah. Tuan bagi amaran, agar Cik Muda jangan terlalu rapat dengan teman-teman di sekolah. Tuan juga pesan, Cik Muda jangan sesekali lupa pada tugas utama Cik Muda," Luna mengingatkan.

"Aku tahu tugas aku. Tak perlu kau ingatkan pun aku takkan pernah lupa,"

"Baguslah, kami sangat berharap pada Cik Muda Anastasia sebagai pewaris tunggal kumpulan kita ini,"

"Luna! Berapa kali perlu aku ingatkan agar kau tak sentuh hal ini?!" tiba-tiba saja dia bertempik kuat memarahi wanita muda di hadapannya itu. Luna hanya tertunduk diam, senyuman masih lagi menghiasi raut wajahnya.

"Maafkan saya atas keterlanjuran saya, Cik Muda," suara Luna masih lunak seperti biasa. Dia hanya mengangguk perlahan. Langsung tidak memandang wanita muda itu.

"Ada apa-apa lagi yang hendak kau cakap, Luna?"

"Benjamin beritahu saya tadi, pada Rabu minggu depan ada ha
ri perjumpaan pihak guru dengan ibu bapa pelajar di sekolah Cik Muda. Cik Muda tak beritahu saya pun, adakah Cik Muda ada perancangan lain yang saya tak tahu?" tiba-tiba dia tergelak mendengar pertanyaan Luna.

"Apa yang kau fiirkan, Luna? Kau masih boleh tahu hal sekolah melalui ahli kumpulan kita yang lain, walaupun aku tak beritahu kau. Aku cuma malas nak memikirkan hal-hal remeh begini. Hmm...eloklah kau dah tahu, jadi jalankan tugas dan mainkan peranan kau ketika berdepan dengan orang luar. Aku pasti kau ingat dengan jelas tugas dan peranan kau, bukan begitu, Luna?"

"Sudah tentu saya ingat, Cik Muda,"


Wanita muda itu menunduk hormat kepadanya dia berlalu pergi dari ruang tamu banglo tiga tingkat itu. Anastasia kembali memejamkan matanya rapat-rapat. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan dan diambil pertimbangan sebelum dia boleh meneruskan rancangannya dan melaksanakan tindakan seterusnya.

Pada usia remajanya, Anastasia langsung tidak berpeluang untuk menikmati keseronokan kehidupan remajanya seperti yang dilalui oleh remaja lain. Dia tampak terlalu matang berbanding usia sebenarnya yang masih mentah. Sejak kecil lagi kehidupannya sudah diaturkan, ditetapkan oleh datuknya. Hanya untuk tujuan pewaris tunggal kumpulan yang dipimpin oleh datuknya, dia hilang kebebasan untuk bermain, berkawan dan sebagainya. Walaupun dia benci dan letih dengan kehidupannya yang 'terkurung' di dalam sangkar emas datuk, dia tiada pilihan lain selain terus patuh kepada arahan demi arahan datuk.

"Ahhhhhhh!!!!!!"

Cawan minuman coklat yang masih bersisa tadi sudah tergolek. Isinya tertumpah mengotori permukaan permaidani tebal yang terhampar di tengah ruang tamu. Anastasia duduk kembali, terasa lapang seketika dadanya. Terasa puas dapat menjerit sekuat hatinya sebentar tadi, walaupun dia tahu kepuasan yang dirasai hanya seketika cuma. Dia termangu sekejap, ada sesuatu yang sedang mengganggu ruang fikirannya saat ini.

"Jatuh cintakah aku pada dia?"dia bergumam sendirian.


Spontan bibir mungilnya meleretkan sebuah senyuman penuh makna. Tidak semena-mena seraut wajah bersih lelaki yang sentiasa mampu menggugah hati hawanya itu muncul di kotak memori. Ah, tak mungikin dia jatuh cinta. Itu cuma perasaan yang sementara, yang selalu memerangkap dan menghanyutkan remaja sepertinya. Paling penting, tak mungkin dia diizinkan untuk merasai perasaan sebegitu, apatah lagi terhadap lelaki yang terlalu jauh berbeza prinsip hidupnya jika dibandingkan dengan apa yang menjadi kepercayaan keluarganya. Mengenangkan segala hakikat perbezaan itu, membuatkan senyumannya terus mati
. Wajah bersih lelaki itu kini digantikan pula dengan wajah bengis milik datuknya.


"Sudahlah, Anastasia! Jangan berani nak bermimpi indah!" dia menempelak dirinya sendiri. Raut wajahnya kembali serius dan tegang. Dia merengus beberapa kali sebelum bangkit meninggalkan ruang tamu yang sedia sunyi dan suram itu. Sesunyi ruang hatinya yang sekian lama terkunci rapat dari dunia di sekelilingnya.



0 comments:

DOA QUNUT NAZILAH