Semalam saya & seorang teman serumah (Adik Hasna) berkesempatan mengemas rumah sewa kami bersama-sama. Alhamdulillah akhirnya tercapai juga niat saya untuk mengemas rumah pada hujung minggu ni. Saya bukanlah seorang yang terlalu 'pembersih' @ si cerewet yang pantang nampak secubit habuk....tapi cukuplah sekadar kawasan tempat kediaman saya nampak bersih, kemas, menyejukkan mata memandang & menenangkan jiwa. Apatah lagi saya memang perlukan suasana & persekitaran yang teratur kerana seorang penulis seperti saya sangat memerlukan minda & jiwa yang tak berserabut agar saya mampu menjana ilham yang terbaik & menghasilkan karya yang berkualiti.
Saya cukup bosan dengan sesetengah manusia yang hanya tahu membebel & merungut : "ish...tandas dah berbau, berlumut..", "ish...dapur kotor, sampah bertimbun..", dan macam2 lagi "ish..." lah. Pada saya, daripada membazir masa & tenaga untuk membebel lebih baik dia buat kerja2 membersih & mengemas rumah tu. Tapi memang beginilah sikap manusia yang biasanya hanya tahu berbicara tentang hak masing-masing tapi terlupa pula untuk menunaikan tanggungjawab kepada orang lain. Kita sepatutnya berasa malu & mengambil iktibar daripada cara hidup Sang Semut (dan juga labah-labah dlm gambar ni...) yang hidup dengan cara tersendiri & unik.
Jika kita perhatikan & hayati kehidupan semut yang hidup secara berkoloni / keluarga besar....setiap individu semut itu menjalankan peranan & tugas masing-masing - ada Ratu Semut, ada semut pekerja, ada semut tentera yang masing-masing dengan peranan tersendiri -
Begitu juga Sang Lelabah yang begitu rajin menganyam membina 'rumah'nya sehingga sempurna & mampu pula memerangkap mangsanya. Cuba bayangkan jika Sang Lelabah itu tidak bersungguh membina & mengukuhkan rumahnya, mungkin belum tentu dia dapat memerangkap mangsanya dengan mudah, kan?
Kenapa kita manusia sukar sangat nak aplikasikan contoh yang semut-semut (bekerjasama, dedikasi & rukun) & lelabah (rajin & sabar) tu tunjukkan dalam kehidupan kita? Bila hidup / tinggal beramai-ramai sama ada dengan ahli keluarga sendiri mahupun dengan orang lain di bawah satu bumbung yang sama...bukankah masing-masing mempunyai peranan masing-masing? Bila salah seorang tak menjalankan tugasnya dengan baik, maka akan meninggalkan kesan kepada yang lain pula, kemudian timbullah isu ungkit-mengungkit, tuduh-menuduh dan sebagainya. Setiap kali saya terfikir akan hal ini saya berasa sangat sedih. Alangkah damainya & indahnya hidup ini jika setiap individu berusaha sedaya-upaya untuk melaksanakan tanggungjawab & peranan masing-masing sebelum meminta hak masing-masing.
Namun seperti yang saya sebutkan pada awal bicara tadi, inilah hakikat kehidupan yang dilalui oleh makhluk bernama manusia...tak pernah puas hati apatah lagi tahu bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan. ALLAH menyuruh kita 'membaca' alam yang terbentang luas ini & mengambil pengajaran (ibrah) daripadanya agar kita mampu melaksanakan tugas kita sebagai 'khalifah' di muka bumi ini sebaik mungkin. Terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk memilih sama ada jalan yang baik mahupun jalan yang buruk.
0 comments:
Post a Comment